Saturday, 14 May 2011

Sang Pelukis

Dalam merangka Potret resah wajah
Kesibukan jelas artis merungkai, merencah
Mengalun kayu keramat bercalit warna
Duduk dalam tafakur meminda idea
Merenung ilham dalam awan pemikiran
Meratip satu persatu imaginasi
Dalam hati berbisik, Nah! Inilah dia
Isyarat tubuh yang mampu
Memukau bola mata melihat
Senada damai hati nurani terukir
Tatkala harmoni menyuntik bahagia
Tercipta walau sekadar potret wajah
Cetusan revolusi minda sang pelukis.

Buck Lee P.S 
Sungai Besi, Kuala Lumpur,
13 Mei 2011.

Derita Palestin

Bingit telinga mendengar
Tatkala dicorong radio dan media
Terus menyebut pengebom Israel yang mengganas
Dimana perginya nilai kemanusiaan
Apakah salah mereka yang inginkan kedamaian
Apakah mereka ini tiada kebebasan?
Apakah kepuasan akan dicapai dengan dentuman bom?
Apakah ini yang diingini oleh mu Israel?
Renunglah… dan fikirkan apa yang telah kau lakukan
Apa gunanya hidup andai tidak kenal erti derita.

Sampai bilakah ini akan berakhir
Kedengaran di telingaku bila rakyat Israel berseronok
Melihat ledakan Bom dan kehancuran kota Palestin
Mereka seolah-olah seronok dalam kebodohan
Tanpa menghirau penderitaan yang dialami rakyat Palestin
Hidup Palestin dibayangi ketakutan bagai tiada noktah
Hati siapa yang sanggup melihat kekejaman berterusan
Palestin terus bermandi darah
Namun apa yang mampu kita lakukan
Iringan doa terus dipanjangkan
Dengan harapan kekejaman ini akan berakhir.

Buck Lee P.S
Kuala Lumpur.

Warna Wajah


Desiran angin membawa perkhabaran
rakyat mulai sedar, akan kelemahan
menafsir makna kehidupan
lama sudah kedengaran perpaduan
dulu gemilang, cemerlang, terbilang
kini 1 Malaysia

Kita kerdil di mata dunia
kelihatan, kelibat sang pelopor meracun fikiran
namun keunikan etnik masih terpelihara
atas dasar perpaduan
gemersik corong radio, perdengarkan:
lagu 1 Malaysia

Ayuh! pantas bingkas rakyat
ujar satu suara yang keramat
dalam memupuk pengertian perpaduan
cetusan idea terungkai sudah
berdiri teguh di dada masyarakat

Benih perpaduan sudah lama cambah
usah dipandang perbezaan warna wajah
andai engkau tidak menginginkan keretakan
kita hidup berbilang bangsa
pengalaman lampau mengajar kita
pentingnya mengekalkan semangat
cinta negara

Sebenarnya tidak terlintas di fikiran
tatkala ind
ividu hipokrit sinis
memperkecilkan kewibawaan negara
dalam mencari sekelumit idea baru
membentuk 1 Malaysia dan akhirnya
inilah realiti perpaduan kita.


( Buck Lee P.S)
31 Oktober 2009,
Di Birotatanegara KL( Perkampungan penulis 1 Malaysia)

Sebutir Cahaya

Permai Senja
Melabuhkan sauh
hari yang cerah
berganti gelap
cahaya yang terang
kini malap
marak pelita menberi sinar
penerang semula
sudut yang malap 
biar sekadar seketika cuma
demikianlah hari-hari berlalu.

kaku, empunya
pohon diri,bagai murba
tanpa penglihatan, tapi bisa
mendengar,menghidu berbicara
nadi getar berdenyut kencang
meraba, menongkat
mencari jalan, mencari damai
andai bisa diri melihat
keindahan pekat relung malam
dengan bintang memagar bulan
kelerai secebis sisa 
melewati perlabuhan hidup
kerna diriku tak mungkin
bisa melihat kembali
sebutir cahaya
selamanya. 

Buck Lee
Kuala Lumpur
31 OKT 2010.

Seawal Selepas Subuh

Seawal selepas subuh,
Kedengaran bingit teriakan hon
Bertebaran, memanggil-manggil
Mengejut saudagar empunya
Mobil harian dan kota
Pohon dialih.

Seawal selepas subuh,
Sudah ada langkah mewacana
Membuka tirai hari, berduyun
Memacu Meniti jalanan
Lampu cahaya deras memudik
Memancar tajam meledakkan pantulan
Dengan silauan bersambung-sambung
Memecah kegelapan pagi.

Seawal selepas subuh,
Deruan enjin mengaung
Merencah fasa memuncak
Merentas kesibukkan kota
Lantas deretan mobil bersusun
Melalui jalan lingkaran hayat
Menuju destinasi.

Seawal selepas subuh,
pacuan semakin perlahan
Kesabaran semakin teruji
Keluhan kian terasa
Tiada jalan pintas
Meloloskan diri dari cengkaman
Kesibukkan metropolintan berupa limbah
Kerana ceritera perjalanan waktu
Harus diharung juga.

Buck Lee
Sg Besi, Kuala Lumpur
15 Nov 2010.

Inti Perpaduan


Desiran angin membawa perkhabaran
Rakyat mulai sedar, akan kelemahan mereka
Menafsir makna kehidupan
Lama sudah kedengaran perpaduan
Dulu gemilang, cemerlang, terbilang
Kini satu Malaysia

Kita kerdil di mata dunia
Kelihatan, kelibat sang palopor, meracuni fikiran
Namun keunikan etnik masih terpelihara
Atas dasar perpaduan
Gemersik corong radio, perdengarkan
Lagu satu Malaysia

Ayuh ! Pantas bingkas rakyatku
Ujar satu suara yang jelas kedengaran
Dalam memupuk pengertian perpaduan
Cetusan idea terungkai sudah
Berdiri teguh di dada masyarakat.

Benih perpaduan sudah lama menjalar
Usah dipandang perbezaan warna kulit
Andai engkau tidak menginginkan keretakan
Kita hidup berbilang bangsa
Pengalaman lampau mengajar kita
Bertapa pentingnya mengekalkan semangat
Cinta Negara

Sebenarnya, tidak terlintas di buah fikiran
Tatkala individu hipokrit sinis
Memperkecilkan kewibawaan Negara
Dalam mencari sekelumit idea baru
Membentuk satu Malaysia dan akhirnya
Inilah realiti inti Perpaduan kita.

Buck Lee P.S
31 Oktober 2009,

Mainan Malam


Tenggelam ditelan pekat malam
Andalusia tabah menduga malam 
Tautan mimpi belum berputik
Masih samar mencari rentak

Angin sepoi memutar laju
Mendesak serebrum
Melabuhkan titisan air
Merembes mata dengan kelembapan,
Igauan mimpi kian memanggil
Mempersembahkan gayatari tersendiri

Malam semakin larut
Ranjang menggamit, berbisik
Melambai digoda dengan keempukkan
Alangkah lega pesona
Merentangkan diri terkulai
Terus dibuai mimpi indah
Sehingga subuh.


Buck Lee P.S
Desa Tasek, Kuala Lumpur,
5 Feb 2010 

Hujan Peluru Dibumi Palestin

Mayat rebah bergelimpangan, berselirat menyembah bumi
Titisan darah panas hanyir terus membanjiri muka bumi
Tangisan anak-anak kecil, rakyat Palestin beterusan kedengaran
Memecah kesunyian dalam kesedihan yang teramat panjang
Atmosfera kebiruan dirobek dengan bedilan senjata pemusnah
Lantas bumi Palestin terus dihujani dengan dentuman kuat
Bom dan peluru, gara-gara manusia durjana bernama Zionis

Tiada lagi keriangan dalam kehidupan kerna
Hidup sentiasa dibayangi igauan mimpi ngeri
Bumi yang dulunya indah telah musnah
Diperkosa dengan jentera berat, senjata peperangan
Digerakkan dengan pemikiran kolot Zionis, untuk menghukum
Membunuh rakyat Palestin yang tidak berdosa.

Zionis lantang bersuara demi maruah, konon menentang musuh
Tetapi dihati punya niat yang tersirat beribu idea kotor
Tiada kata indah dapat diucapkan sang ibu Palestin
Atas ratapan detik hitam yang hinggap, melihat pemergian
Anak-anak kecil , rakyat Palestin digugurkan dengan kejam
Bingit tangisan sudah pasti tidak dapat mengembalikan
Nostalgia lama yang diakui akan terkubur buat selamanya.

Tanpa kelengkapan peperangan yang sempurna
Anak-anak muda Palestin tetap menggempur
Menanam api kebencian yang membuak terhadap Zionis
Demi mencari kedamaian dan keamanan sejagat
Menghentikan segala kesengsaraan, biarpun tidak sepenuhnya
Mereka tidak sanggup lagi menahan derita yang dirasai
Dalam meratapi detik hitam kian sambung menyambung
Bagi anak-anak muda ini, tiada janji yang mampu dikotakan
Namun semangat utuh mereka harus dipuji, akan berjuang
Dengan kudrat, empat kerat, dan disulami keberanian
Hingga ke titisan darah terakhir.

Saban hari kita mendengar rakyat Palestin bersujud, manadah
Tangan sambil memanjangkan doa dalam genangan airmata
Agar kekejaman zionis dilembutkan hatinya dengan harapan
Kedamaian dan keamanan terukir kembali seperti dulu
Memagarkan pagar cinta dengan persaudaraan, kemanusiaan
Agar subur suci kembali bumi Palestin.

Buck Lee P.S
Desa Tasik, Sg besi, KL
(28 Julai 2010 )

Ada Kekurangan ( Adik Istimewa )

Petah berbicara
Biarpun ada kekurangan
Dalam diri

Bisa mendengar walau
Biarpun ada kekurangan
Dalam diri

Gagahi diri merangkak
Biarpun ada kekurangan
Dalam diri

Gelak tawa riang
Biarpun ada kekurangan
Dalam diri

Tiada sesiapa
Ingin kekurangan
Dalam diri

Alangkah girang rasanya
Bisa aktif seperti
Kanak-kanak lain
yang sempurna
Sifatnya.

Buck Lee P.S
KPJ Selangor
31 JUL 2010

Halaman Kita

Halaman ini, terbentang mewangi
tempat bermain angan-angan
rumput berselirat tumbuh merimbun
melambai-lambai ketenangan
mengukir senyuman berpaut
pada akar yang satu

Halaman ini, bersemi cinta
merakam tragedi indah lama
sederap angkuh menyingkap memori
seakan sebati dalam instrumenta
kasih buana

Halaman ini, penuh kehijauan
menarik figura mata memandang
panjang saujana menyingsing tinggi
menerjah bumi merungkai pantulan
mewarnai alam pasca lembut

Halaman ini, permai menggelegak
berirama santun sentuhannya
meraba diri terjurus ke alam fauna
tersergam cantik terus terpelihara
suburnya harus kekal selamanya
kerana diriku berpijak
di halaman sendiri, bumi bertuah
Malaysia halaman kita.


Buck Lee P.S
Sg Besi, KL
5 Sept 2010.

Arus Bahasa



Menongkah arus berabad
Menyusuri onar onak
Tinggal jejak tanpa hilang
Perilakunya
Diri tersasar terpinggir
Dalam himpitan sanggar masa
Deretan abjad merungkai
Membuahkan inti ranum
Mengindahkan pengucapan
Dalam bait-bait kehidupan.


Senja, adakala cepeh
Gagah melebar berpaut
Pada kitiran persada
Menegak bongkah bahasa
Melestarikan tinggalan
Mutiara keagungan purba
Gelodak lara, keresahan
Meratip bahasa hampir punah
Rebah, dilewati pujangga
Tanpa dijemput kehadirannya.


Armada kolonialis angkuh
Memugar menyelit menunduk
Arus bahasa ibunda
Telah lama tepahat
Diminda dewata.


Buck Lee
Kuala Lumpur
27 sep 2010.