Saturday 14 May 2011

Sang Pelukis

Dalam merangka Potret resah wajah
Kesibukan jelas artis merungkai, merencah
Mengalun kayu keramat bercalit warna
Duduk dalam tafakur meminda idea
Merenung ilham dalam awan pemikiran
Meratip satu persatu imaginasi
Dalam hati berbisik, Nah! Inilah dia
Isyarat tubuh yang mampu
Memukau bola mata melihat
Senada damai hati nurani terukir
Tatkala harmoni menyuntik bahagia
Tercipta walau sekadar potret wajah
Cetusan revolusi minda sang pelukis.

Buck Lee P.S 
Sungai Besi, Kuala Lumpur,
13 Mei 2011.

Derita Palestin

Bingit telinga mendengar
Tatkala dicorong radio dan media
Terus menyebut pengebom Israel yang mengganas
Dimana perginya nilai kemanusiaan
Apakah salah mereka yang inginkan kedamaian
Apakah mereka ini tiada kebebasan?
Apakah kepuasan akan dicapai dengan dentuman bom?
Apakah ini yang diingini oleh mu Israel?
Renunglah… dan fikirkan apa yang telah kau lakukan
Apa gunanya hidup andai tidak kenal erti derita.

Sampai bilakah ini akan berakhir
Kedengaran di telingaku bila rakyat Israel berseronok
Melihat ledakan Bom dan kehancuran kota Palestin
Mereka seolah-olah seronok dalam kebodohan
Tanpa menghirau penderitaan yang dialami rakyat Palestin
Hidup Palestin dibayangi ketakutan bagai tiada noktah
Hati siapa yang sanggup melihat kekejaman berterusan
Palestin terus bermandi darah
Namun apa yang mampu kita lakukan
Iringan doa terus dipanjangkan
Dengan harapan kekejaman ini akan berakhir.

Buck Lee P.S
Kuala Lumpur.

Warna Wajah


Desiran angin membawa perkhabaran
rakyat mulai sedar, akan kelemahan
menafsir makna kehidupan
lama sudah kedengaran perpaduan
dulu gemilang, cemerlang, terbilang
kini 1 Malaysia

Kita kerdil di mata dunia
kelihatan, kelibat sang pelopor meracun fikiran
namun keunikan etnik masih terpelihara
atas dasar perpaduan
gemersik corong radio, perdengarkan:
lagu 1 Malaysia

Ayuh! pantas bingkas rakyat
ujar satu suara yang keramat
dalam memupuk pengertian perpaduan
cetusan idea terungkai sudah
berdiri teguh di dada masyarakat

Benih perpaduan sudah lama cambah
usah dipandang perbezaan warna wajah
andai engkau tidak menginginkan keretakan
kita hidup berbilang bangsa
pengalaman lampau mengajar kita
pentingnya mengekalkan semangat
cinta negara

Sebenarnya tidak terlintas di fikiran
tatkala ind
ividu hipokrit sinis
memperkecilkan kewibawaan negara
dalam mencari sekelumit idea baru
membentuk 1 Malaysia dan akhirnya
inilah realiti perpaduan kita.


( Buck Lee P.S)
31 Oktober 2009,
Di Birotatanegara KL( Perkampungan penulis 1 Malaysia)

Sebutir Cahaya

Permai Senja
Melabuhkan sauh
hari yang cerah
berganti gelap
cahaya yang terang
kini malap
marak pelita menberi sinar
penerang semula
sudut yang malap 
biar sekadar seketika cuma
demikianlah hari-hari berlalu.

kaku, empunya
pohon diri,bagai murba
tanpa penglihatan, tapi bisa
mendengar,menghidu berbicara
nadi getar berdenyut kencang
meraba, menongkat
mencari jalan, mencari damai
andai bisa diri melihat
keindahan pekat relung malam
dengan bintang memagar bulan
kelerai secebis sisa 
melewati perlabuhan hidup
kerna diriku tak mungkin
bisa melihat kembali
sebutir cahaya
selamanya. 

Buck Lee
Kuala Lumpur
31 OKT 2010.

Seawal Selepas Subuh

Seawal selepas subuh,
Kedengaran bingit teriakan hon
Bertebaran, memanggil-manggil
Mengejut saudagar empunya
Mobil harian dan kota
Pohon dialih.

Seawal selepas subuh,
Sudah ada langkah mewacana
Membuka tirai hari, berduyun
Memacu Meniti jalanan
Lampu cahaya deras memudik
Memancar tajam meledakkan pantulan
Dengan silauan bersambung-sambung
Memecah kegelapan pagi.

Seawal selepas subuh,
Deruan enjin mengaung
Merencah fasa memuncak
Merentas kesibukkan kota
Lantas deretan mobil bersusun
Melalui jalan lingkaran hayat
Menuju destinasi.

Seawal selepas subuh,
pacuan semakin perlahan
Kesabaran semakin teruji
Keluhan kian terasa
Tiada jalan pintas
Meloloskan diri dari cengkaman
Kesibukkan metropolintan berupa limbah
Kerana ceritera perjalanan waktu
Harus diharung juga.

Buck Lee
Sg Besi, Kuala Lumpur
15 Nov 2010.

Inti Perpaduan


Desiran angin membawa perkhabaran
Rakyat mulai sedar, akan kelemahan mereka
Menafsir makna kehidupan
Lama sudah kedengaran perpaduan
Dulu gemilang, cemerlang, terbilang
Kini satu Malaysia

Kita kerdil di mata dunia
Kelihatan, kelibat sang palopor, meracuni fikiran
Namun keunikan etnik masih terpelihara
Atas dasar perpaduan
Gemersik corong radio, perdengarkan
Lagu satu Malaysia

Ayuh ! Pantas bingkas rakyatku
Ujar satu suara yang jelas kedengaran
Dalam memupuk pengertian perpaduan
Cetusan idea terungkai sudah
Berdiri teguh di dada masyarakat.

Benih perpaduan sudah lama menjalar
Usah dipandang perbezaan warna kulit
Andai engkau tidak menginginkan keretakan
Kita hidup berbilang bangsa
Pengalaman lampau mengajar kita
Bertapa pentingnya mengekalkan semangat
Cinta Negara

Sebenarnya, tidak terlintas di buah fikiran
Tatkala individu hipokrit sinis
Memperkecilkan kewibawaan Negara
Dalam mencari sekelumit idea baru
Membentuk satu Malaysia dan akhirnya
Inilah realiti inti Perpaduan kita.

Buck Lee P.S
31 Oktober 2009,

Mainan Malam


Tenggelam ditelan pekat malam
Andalusia tabah menduga malam 
Tautan mimpi belum berputik
Masih samar mencari rentak

Angin sepoi memutar laju
Mendesak serebrum
Melabuhkan titisan air
Merembes mata dengan kelembapan,
Igauan mimpi kian memanggil
Mempersembahkan gayatari tersendiri

Malam semakin larut
Ranjang menggamit, berbisik
Melambai digoda dengan keempukkan
Alangkah lega pesona
Merentangkan diri terkulai
Terus dibuai mimpi indah
Sehingga subuh.


Buck Lee P.S
Desa Tasek, Kuala Lumpur,
5 Feb 2010